----

Monday, November 22, 2010

pengorbanan


gambar hiasan

pengorbanan. aidiladha banyak mengingatkan aku mengenai pengorbanan. mungkin semua orang tahu sejarah hari raya korban. namun, adakah semua orang menghayati kisah tersebut? aku di sini tidaklah layak untuk mempersoalkan persoalan ini. namun, aku rasa tidak salah jika aku menzahirkan apa yang aku rasa.

selama ini, aku hanya tahu mengenai kisah Nabi Ibrahim a.s. bersama anaknya Nabi Ismail a.s. namun, rupa-rupanya masih ada satu lagi kisah yang aku rasa tidak ramai yang tahu mengenainya. iaitu kisah bapa Nabi Muhammad S.A.W , Abdullah bersama ayahnya, Abdul Mutalib. aku mengetahui kisah ini melalui pembacaan buku yang bertajuk "Aminah, Bunga Kaum Quraisy" karya Ezee Rahmani. buku ini menceritakan kisah Aminah, ibu baginda Rasulullah dari beliau kecil sehinggalah beliau meninggal dunia. juga turut diceritakan kisah Abdullah. yaang hampir menjadi korban oleh sebab nazar ayahandanya, Abdul Mutalib.

*****kisah yang dinyatakan daripada buku tersebut*****


Wuhaib terdiam apabila mendengar Abdul Mutalib mengimbas kembali kenangan semasa menggali telaga zamzam. Pada masa itu berkerumun orang Quraisy memerhati Abdul Mutalib yang tekun menggali telaga zamzam. Malah, ada yang memperkecilkan usaha Abdul Mutalib. Cuma Harith, anak Abdul Mutalib sahaja yang mahu membantu. Itu adalah satu-satunya anak lelaki yang dimilikinya pada masa itu.

Abdul Mutalib menambah, "Kecewa dan hancurnya hati saya pada masa itu. Sedangkan saya menggali telaga zamzam bukan buat saya dan keluarga semata-mata, tetapi lebih kepada membantu mengurangkan penderitaan para tetamu Tuhan yang datang beribadah. Tidak tertanggung saya melihat susuk tubuh yang setiap tetamu yang melangkah lemah mengerjakan ibadah dengan penuh ikhlas dan rendah diri, di bawah terik matahari yang membakar kulit-kulit kering mereka. Mengapa penduduk kota ini tidak mahu membantu? Saya tidak pernah berbuat jahat kepada orang lain apatah lagi mencederakan mereka. Mengapa mereka biarkan saya dan anak saya sahaja yang mencari telaga zamzam? Saya sangat sedih pada masa itu sedangkan saya hanya melakukan perintah Tuhan kepada saya."

Hatinya menjadi sayu. Sayu mengenangkan sikap kaumnya pada masa itu sanggup mengejek dan menghinanya sebagai ayah yang tidak dapat melahirkan banyak zuriat terutamanya anak-anak lelaki. Pada masa itu juga Abdul Mutalib membuat nazar.

Kata Abdul Mutalib lagi, "Sebab itu pada setiap hari saya berdoa agar mendapat ramai anak lelaki. Ini kerana anak lelaki menjadi lambang kebanggaan dan kesombongan Quraisy. Bermula dari hari itu juga saya bernazar, apabila saya dikurniakan sepuluh anak lelaki, salah seorang daripada mereka akan saya korbankan kepada Tuhan. Sekarang Tuhan telah kabulkan doa dan permintaan saya. Wajarkah saya melupakan nazar itu?"

Wuhaib langsung tidak besuara. Sangka Wuhaib, nazar itu sudah dilupakan oleh Abdul Mutalib. Malah tidak ada orang yang mengingati hal itu lagi. Perkara itu sudah lama berlalu. Tetapi tidak bagi orang yang membuat nazar ini.

***

Nafas mereka seakan terhenti. Sesekali mereka mengalihkan pandangan kepada anak-anak Abdul Mutalib yang tidak berganjak langsung malah mereka tetap berdiri di tempatnya dan membiarkan sahaja cahaya matahari menyirami wajah-wajah mereka. Salah seorang daripada anak-anak Abdul Mutalib ialah Abdullah. Beliau ternyata adalah anak yang paling tampan, berdiri di samping abang-abangnya sambil tersenyum. Hati penduduk Mekkah menjadi kecut apabila pandangan mereka jatuh kepada Abdullah. Dalam diam, mereka berdoa supaya bukan kiub nama Abdullah yang terpilih.

Balang terus bergoncang hebat mencampur-adukkan kiub-kiub nama di dalamnya. Begitu juga hati penjaga berhala itu yang turut berbolak-balik.


***

Penjaga berhala tersebut berasa suram walaupun upah 100 dirham pada asalnya amat dihajati. Berkali kali nama dicabut, namun hasil yang sama tetap berlaku, iaitu nama Abdullah yang terpilih. Gementar seluruh sendi Abdul Mutalib kerana nama anak kesayangannya yang terpilih. Seluruh penduduk Mekkah tergamam. Abdullah hanya tersenyum. Abdullah akur di atas takdir yang menimpa dirinya. Beliau begitu tenang untuk menjalankan perintah Tuhan.


gambar hiasan


"Pedang sudah berada di tangan ayahanda. Anakanda tidak pernah gentar menyerahkan leher ini supaya dipenggal. Dipersila menjalankan perintah Tuhan ini dengan segera."

Begitulah kata-kana Abdullah yang ikhlas mentaati perintah Tuhannya. Adik-beradik Abdullah memprotes undian tersebut. Ternyata mereka sanggup mempertaruhkan leher-leher mereka supaya dapat disembelih. Kejutan apakah ini? Mereka saling berebut mahu dijadikan korban supaya disembelih oleh ayahanda sendiri? Para penduduk Mekkah tidak keruan.

Aminah tidak dapat membendung perasaan sebak. Mahu saja beliau merempuh orang ramai dam merampas pedang daripada tangan Abdul Mutalib. Abdullah melangkah ke ayahandanya. Beliau bersedia menghulurkan lehernya sebaik sahaja melihat pedang dalam genggaman ayahandanya itu semakin kemas dan terangkat. Tiba-tiba, meluru seorang wanita iaitu Ummu Hakim iaitu saudara kembar Abdullah. Beliau meminta tidak dipenggal leher saudaranya Abdullah. Beliau mempertaruhkan lehernya supaya disembelih.

Tidak semena-mena, tiga orang lelaki berbadan tegap melompat ke hadapan dan merampas pedang dari tangan Abdul Mutalib. Ketiga-tiga orang itu ialah Mughirah, Zubair dan Abu Talib. Kini, pedang berada di tangan sorang lelaki bernama Mughirah bin Abdullah al-Makhzumi, suadara kepada Fatimah binti Amru al-Makhzumi, iaitu bonda Abdullah. Abdul Mutalib berusaha merampas kembali pedang tersebut namun tenaganya sudah lemah. Namun begitu, beliau tetap dengan pendiriannya. Mughirah terus menyakinkan Abdul Mutalib bahawa undi tersebut tidak tepat kerana mereka pernah mengikut tarikh yang diundi oleh balang itu, namun, mereka pulang dengan kehampaan. Mereka juga pernah mengundi menggunakan balang tersebut sebelum peperangan, tetapi akhirnya mereka tewas. Penjaga berhala itu bertanya Abdul Mutalib mengenai saranan Mughirah tadi. Orang ramai berteriak supaya di menyelesaikannya dengan cara lain iaitu dengan menebusnya, mereka menyuruh membawa Abdullah kepada tukang tilik dan jangan basahkan bumi Tuhan ini dengan darah manusia.

Akhirnya nyawa Abdullah ditebus dengan 100 ekor unta.

************

Begitulah kasih sayang Allah kepada makhluknya yang taat dan ikhlas :)
all zamira's. © Copyright 2011 zamirra.blogspot.com All Rights Reserved.